Sunday, January 31, 2010

Dr Mahathir mengulang ucapan mengenai Malayan Union


Ucapan Dr Mahathir di pelancaran Perkasa Selangor pada hari Sabtu Januari 28hb mengulang pembuka yang biasa didengar semasa dia mengeliling negara menegur dan mengkritik Tun Abdullah Badawi hingga ia berundur.

Selepas memuji kebolehan Presiden Perkasa Dato Ibrahim Ali dan Perkasa mengumpul ramai orang-orang Melayu dan Pribumi yang diluar dugaannya, Dr Mahathir mengulang kembali kata-kata lamanya tentang peristiwa penubuhan Malayan Union pada tahun 1946.

Menurutnya, peristiwa Malayan Union begitu siginifikan sebagai pertama kali orang Melayu ramai-ramai bangkit bersuara menegur pemimpin atas kesilapan keputusan yang telah mereka buat. Tahun dimana UMNO itu juga dipercayai pertama kali orang Melayu secara beramai-ramai memecahkan amalan feudel yang memberi taat setia membabi buta kepada ketua (feudalistic blind loyalty).

Setelah memperingati penuntun bahawa menegur itu tidak salah, Dr Mahathir sering menyambung ucapannya dengan pandangan-pandangan dan teguran yang kritis. Dia ingin memberitahu orang Melayu supaya berani menegur pemimpin supaya mereka sedar dan memperbetulkan kesilapan mereka.

Sebagaimana diberitahu oleh seorang wartawan, Dr Mahathir sudah mengulang ucapan yang sama seminggu dua lepas. Apakah maknanya?

Utusan Malaysia melaporkan dalam Mingguan Malaysia berikut:

Dr. Mahathir kecewa parti Melayu tidak bantu kaum sendiri

KUALA LUMPUR 30 Jan. - Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, tiga parti utama orang Melayu iaitu UMNO, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) terlalu 'asyik' mendapatkan sokongan bukan Melayu sehingga tidak mempedulikan rintihan kaum mereka sendiri.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, ketika ini apa jua tuntutan bukan Melayu, sama ada beralas undang-undang, Perlembagaan atau perjanjian lalu, akan dilayan oleh parti-parti berkenaan.

Beliau percaya tindakan itu berpunca daripada keyakinan mereka yang menyedari bahawa orang Melayu tidak mempunyai banyak pilihan ketika pilihan raya dan akan tetap menyokong mereka.

"Tidak perlu saya nyatakan apa yang menyebabkan kita berasa kecewa. Tetapi kita lihat orang yang dulu kata orang Islam jika berkawan dengan bukan Islam akan jadi kafir, sekarang peluk cium orang bukan Islam dan dihalalkan segalanya bagi mereka kerana orang Melayu tetap akan bagi sokongan.

"Ia bukan tindakan yang bijak. Orang Melayu rasa tidak boleh lagi bergantung pada parti-parti politik, sebab itu ditubuhkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyuarakan pendapat mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 2,000 hadirin pada majlis pelancaran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Selangor di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Hulu Kelang di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar; Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali serta beberapa pemimpin NGO Melayu.

Dr. Mahathir menambah, terdapat beberapa NGO Melayu yang menemuinya dan menyatakan kekecewaan mereka terhadap kerajaan dan parti-parti pembangkang.

"Tetapi apa yang mereka boleh buat. Mereka kata, jika terlampau giat suarakan pendirian orang Melayu, mereka akan dituduh rasis dan mungkin juga diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

"Akhirnya, mereka datang bertemu bekas Perdana Menteri yang sudah tidak bertaring. Mereka kecewa tetapi tidak dapat suarakan kepada pemimpin Melayu sama ada kerajaan atau parti lawan," ujarnya.

Beliau bagaimanapun mengingatkan orang Melayu agar melakukan protes secara tertib dan tidak melakukan kekacauan sehingga menghancurkan keamanan negara.

"Kalau mereka tidak dengar, kita ada kuasa dalam pilihan raya. Jangan gunakan cara yang boleh merosakkan keamanan.

"Tetapi saya bimbang, sekiranya keadaan ini berterusan, orang Melayu yang sekian lama memendam kekecewaan akan 'meletup'," katanya.
Walaupun Perkasa bukan sebesar UMNO dan tidak ada penglibatan dalam politik, Dr Mahathir mengingatkan kembali bagaimana peristiwa dia kalah di Kota Setar pada tahun 1969 untuk menggambarkan kuasa yang ada pada NGO sebagai kumpulan kecil disatu-satu tempat.

Pemimpin Parti Harus Ambil Berat Pandangan NGO, Kata Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Pemimpin parti politik harus mengambil perhatian terhadap pandangan dan rintihan yang disuarakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana ianya merupakan suara rakyat.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata walaupun bilangan NGO di negara ini adalah kecil namum mereka memainkan peranan yang cukup besar pada pilihan raya dengan mampu memberikan kemenangan kepada parti.

“Pada pilihan raya, kita tidak memerlukan beratusan ribu atau pun berpuluhan ribu (undi untuk menang), hanya 102 (undi) sudah mencukupi untuk menentukan menang atau tidaknya sesebuah parti politik itu,” katanya pada majlis pelancaran Pertubuhan Perkasa Selangor di sini semalam.

Dr Mahathir berkata malah beliau sendiri mengalami kekalahan dalam pilihan raya umum pada tahun 1969 apabila gagal mempertahankan kerusi Parlimen Kota Setar Selatan di Kedah kerana terlampau yakin bahawa pengundi Melayu akan menyokongnya di kawasan itu.

Ini adalah kerana pada pilihan raya umum 1964, beliau telah memenangi kerusi itu dengan mengalahkan calon PMIP, yang kini dikenali sebagai PAS, iaitu Mohd Shaari Abd Shukor dengan majoriti 4,210 undi.

“Itu adalah kawasan Melayu. Daripada 35,000 pengundi hanya 5,000 sahaja yang terdiri daripada orang Cina, India dan Siam. Oleh kerana saya cuba memperjuangkan nasib orang Melayu maka saya pun berpendapat tentulah ramai daripada mereka akan memberi kemenangan pada saya,” katanya.

Dr Mahathir berkata akibat memikirkan beliau akan tetap menang, beliau tidak mengambil berat sama ada pengundi kaum Cina di kawasan Parlimennya akan mengundinya atau tidak.

Akhirnya pada pilihan raya itu Dr Mahathir telah ditewaskan oleh Yusof Rawa dari PAS dengan kelebihan undi 989.

Katanya oleh sebab itulah, parti politik harus memberi perhatian kepada kumpulan kecil kerana mereka mampu menentukan kemenangan sesuatun parti dalam pilihan raya
Dr Mahathir turut mengungkit kembali sikap murah hati pemimpin terdahulu memberikan kira-kira 1 juta kerakyatan kepada bangsa lain hingga Melayu bukan lagi majoriti.

Malangnya, katanya, “Mungkin generasi pertama berterima kasih tetapi generasi baru ingin lupakan sikap murah hati ini. Bangsa lain lempar tuduhan bertalu-talu sebab Melayu lemah, bermurah hati dan tidak mahu menjawab kerana akan dituduh racist.”

Dia mengingatkan sebuah akhbar menulis Melayu tidak wujud tetapi yang wujud hanya kaum tertentu seperti Jawa, Bugis, Rawa, dan lain-lain. Ada yang sudah terlanjur hingga mengatakan Melayu adalah juga pendatang dari Indonesia dan saja tidak peduli pulau-lulau itu adalah gugusan kepulauan Melayu.

Sudah wujud orang-orang Melayu yang berjaya hasil Dasar ekonomi Baru tetapi kini tidak mahu lagi hak keistimewaan Melayu lagi. Perpecahan Melayu kepada tiga parti politik. Sudah mula timbul pemimpin berfikirkan liberal yang sudah tidak utama bangsa.

Kata Dr Mahathir, kalau orang Melayu itu kuat dan kukuh, tidak mengapa. Masaalahnya orang Melayu tidak kuat ekonominya.

Orang Melayu sudah mula merasai UMNO mengenepikan mereka. Walaupun Pakatan Rakyat sedang menghadapai masaalah tetapi selagi UMNO tidak dilihat tidak melakukan perubahan dan membela orang Melayu, belum tahu undi akan kembali kepada UMNO.

Dr Mahathir melantunkan persoalan. Kenapa sepanjang 46 tahun Barisan Nasional memerintah, orang Melayu tidak rasa terancam tetapi sekarang kita rasa terancam?

Katanya sekarang pemimpin menyeleweng, tidak boleh ditegur, dan susah untuk mendengar nasihat. Pemimpin juga ramai yang lebih mementingkan mencari kekayaan, mengutamakan kepentingan sendiri, dan terlibat dengan politik wang.

Pastinya ini bukan terakhir kita dengar Dr Mahathir menegur perkara-perkara ini. Cuma adakah ianya akan menjadi lebih lantang?

2 comments:

Anonymous said...

Salam Hormat Sdr Voicey,

TDM adalah seorang pejuang tulin dan negarawan ulong yg amat cintakan bangsa, agama dan tanah airnya.Selama 20 tahun lebih beliau telah,dengan segala komitmen dan kebijaksanaannya,mentadbir dan membangunkan negara ini dengan gemilangnya sehingga terkenal diseluroh antero dunia.Memeng diakui,sebagai manusia biasa, beliau mempunyai kelemahan dan membuat kesilapan, tetapi bakti dan jasanya teramat banyak, dan tidak dapat ditandingi.

Olih kerana TDM tidak sanggup melihat Negara yg amat dicintai ini terjerumus kekancah kemusnahan olih kerana pemimpinnya dilihat tidak cekap,lemah,korup,tidak tegas dan tidak jujor maka sebab itulah beliau,pada mulanya,menegor secara berhemah dan tertib terhadap pentadbiran Tun Dollah.Tetapi apablia tegoran itu tidak langsong diambil pusing bahkan semacam dipersenda maka lantaran itulah,beliau tidak ada pilihan lain melainkan bertindak sepertimana yg telah beliau lakukan itu.Tindakan beliau itu diambil demi untuk menyelamatkan negara ini daripada keadaan kucar kacir dan tidak menentu.

Keadaan Negara hari ini nampak nya tidak jauh bezanya dengan era Tun Dollah.Walaupun ucapan-ucapan PM Najib pada perigkat awalnya agak merangsangkan dan telah memberi harapan yg positif.Tapi setelah konsep dan gagasan 1 Malaysia dilancar dan dihebohkan dengan begitu hebat dengan segala macam sologan dan nyanyian maka pengisiannya mula menampakkan PM Najib terlampau banyak mengalah , bertolak-ansur dan mengutamakan kaum minoriti.Sekaligus, semacam memingirkan orang Melayu.Hakikat inilah yg mendorong dan memaksa Tun Dr Mahathir mengulangi ucapan mengenai Malayan Union agar orang Melayu,khususnya pemimpin Umno,bangkit dari tidur lena yg dibuai mimpi indah dan seronok.Tujuan Tun ialah untuk mengigatkan Umno supaya kembali kepada asas perjuangan asalnya agar orang Melayu kembali memyokong nya.

Nampaknya setakat ini Tun mulai cuba menggerakkan Umno daripada khayalan indah dengan tegoran dan kejutan seperti memaparkan pandangan orang ramai yg mengatakan UMNO ROTTEN TO THE CORE dan lain lain sindiran dalam ucapan dan blognya sebelum ini.Tapi usaha itu, setakat ini tidak menampakkan sebarang reaksi positif.

Yang pastinya, jika tegoran dan peringatan beliau ini tidak mendapat perhatian,dan keadaan Negara dan orang Melayu makin parah dan menuju kepada keadaan yg amat membimbangkan,saya percaya Tun Dr Mahathir akan bersuara lebih lantang dan bertindak lebih agresif lagi demi untuk cuba menyelamatkan Bangsa ,Agama dan Tanahairnya.

Askar Tua.

Anonymous said...

terimakasih tun.. teruskan usaha murni. diharap melayu kembali gagah dan mampu pertingkatkan jati diri. momentum dah bagus ni...keep it up

My Say