Tuesday, May 20, 2008

TDM Keluar UMNO: Satu Analisa Saintis Politik

Tindakan Dr Mahathir Keluar Umno Tidak Boleh Dipandang Ringan, Kata Penganalisa Politik

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Tindakan bekas Perdana Menteri dan Presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad keluar daripada parti itu hari ini menimbulkan persoalan mengenai masa depan parti Melayu itu.

Bagi beberapa penganalisis politik, mereka melihat tindakan Dr Mahathir itu boleh menimbulkan kekacauan dan komplikasi di dalam parti dan juga Barisan Nasional, bagaimanapun ia tidak menjejaskan kestabilan negara serta kerajaan.

Bagi pensyarah Fakulti Pengurusan Awam dan Undang-Undang Universiti Utara Malaysia Prof Dr Ahmad Atory Hussein, walau apapun sebab sebenar bekas Perdana Menteri itu meninggalkan Umno, ia tidak boleh dipandang ringan oleh kepimpinan parti dan kerajaan.

"Sama ada beliau keluar parti kerana kecil hati pandangannya tidak lagi diendahkan, ataupun kerana beliau mahu memaksa anggota Umno mengambil tindakan berani terhadap pucuk pimpinan, pada saya tindakan keluar parti itu sendiri membawa kesan besar kepada Umno dan negara.

"Kesan kepada Umno adalah jelas kerana Tun masih mempunyai ramai pengikut setia. Bayangkan kalau semua pengikut setia beliau, walaupun hanya anggota biasa keluar parti, saya rasa boleh punah Umno," katanya kepada Bernama di sini hari Isnin.

Ahmad Atory berkata: "Kita perlu ingat, Tun mentadbir negara selama 22 tahun dan banyak berjasa walaupun beliau seorang yang kontroversi.

Beliau dihormati oleh banyak pemimpin luar dan tiba-tiba beliau keluar daripada parti yang sebelum ini dipimpinnya.

"Sudah pasti akan menimbulkan banyak persoalan mengapa ini berlaku. Tambahan pula semasa pilihan raya umum baru-baru ini keputusan yang diterima parti memerintah adalah teruk. Kesimpulan yang boleh dibuat mereka ialah politik di Malaysia tidak begitu stabil lagi," katanya.

Ahmad Atory berkata Dr Mahathir sudah pasti mempunyai sebab kukuh untuk berbuat demikian, tetapi kalau diikutkan alasan beliau berhenti sebab kecewa dengan kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Kenapa Tun tak boleh tunggu peralihan kuasa yang Abdullah sudah memberi jaminan akan melakukannya dengan memberikan tampuk pemerintahan negara kepada timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Atau mungkin ada insiden-insiden baru yang hanya Tun seorang saja yang tahu, yang menyebabkan beliau mengambil tindakan nekad ini," katanya.

Ahmad Atory bagaimanapun menyimpulkan keputusan Dr Mahathir itu menggambarkan sesuatu yang amat serius di dalam Umno dan perlu ditangani segera oleh pucuk pimpinan parti.

"Nasihat saya, jika sayangkan parti, bersemukalah. Kedua-dua mereka (Dr Mahathir dan Abdullah) harus bersemuka. Pada saya kalau Pak Lah (Abdullah) pergi berjumpa dengan Tun tak ada salahnya. Ular yang menyusur akar tidak hilang bisanya," katanya.

Ini kerana, katanya tindakan Dr Mahathir yang secara berterusan mengkritik pentadbiran Abdullah selama ini sebenarnya `membunuh' kredibiliti Perdana Menteri itu secara perlahan-lahan.

"Hari ini Tun bertindak untuk keluar parti. Walaupun Pak Lah tak akan letak jawatan kerana `desakan' Tun ini, tetapi saya pasti ia akan membuka mata ramai anggota Umno untuk berani membuka mulut," katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Yayasan Strategik Sosial Datuk Dr Denison Jayasooria berkata sebagai seorang negarawan yang lebih tua, Dr Mahathir sepatutnya mempermudahkan usaha memperkukuhkan parti dan bukan menambahkan lagi masalah.

No comments:

My Say